Situasi Di Perak 12/5

Mukaddimah

Situasi di Perak memang menggamit diri saya untuk menulis pada malam ini. Perak merupakan negeri kelahiran ayah saya. Saya pernah bermaustatin di sana selama setahun, tetapi saya juga mencintai negeri tersebut melebihi negeri kelahiran saya. Masih segar-bugar di dalam minda saya lagu negeri Perak yang sering dinyanyikan sewaktu di sekolah rendah. Doa dan Nyanyian kanak-kanak yang tulus dan ikhlas...

Pada awalnya, saya tidak mahu melontar idea apa pun mengenai situasi di Perak kerana timbul kegentaran akan muncul di benak-benak teman-teman bahawasanya saya cuba menerjah dunia politik. Tapi percayalah, saya seorang nasionalis altruis yang cintakan negara dan orang-orang saya. Saya juga mungkin seperti sebahagian daripada anda – membenci kekacauan yang disebabkan ahli-ahli politik. Apa pun ideologi yang anda ketengahkan, itu bukan urusan saya kerana cinta itu bukan terletak bersama ideologi. Nasionalis ibarat pengembala biri-biri, ahli politik adalah penyembelihnya.

Sering kali saya ingatkan diri saya dan teman-teman, terutama yang seagama, supaya kita saling bantu-membantu dalam perkara yang kita muafakati dan bertoleransi dalam hal-hal yang kita selisihkan. Apa jua yang saya ketengahkan adalah daripada pertimbangan saya yang seadil-adilnya. Jikalau ada sebahagian daripada kalian yang tidak menyetujui pendapat saya, janganlah mencemuh saya. Pertimbangan saya merupakan pandangan akal. Selagi mana Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza, maka pastinya persepsinya juga berbeza. Kita semua akan menilai orang lain melalui perbuatan dan lisan, tetapi menilai diri sendiri melalui niat di hati. Seikhlas mana seseorang dalam beribadah sendiri kepada Tuhan-Nya (Allah), pasti ada kelainan dalam menterjemahkan perkara-perkara fiqh. Begitu juga dalam mentafsirkan siri perlakuan politik manusia, pastinya lebih payah dan membingungkan.

Walaupun saya menyokong legasi Perdana Menteri Malaysia sekarang, saya bukanlah klon pemikiran beliau. Saya seorang ideologis juga, pemimpin bagi diri sendiri. Saya menyokong perlaksanaan Hudud, saya juga jelak dengan sikap pemimpin yang menjatuhkan hakim-hakim yang adil sehingga akhirnya hakim tersebut tetapi tidak pernah mendapat hak pencennya [walaupun bekerja keras Ketua Hakim Negara yang memindahkan pusat rujukan kehakiman Malaysia daripada Majlis Privy British – anda tahu siapa yang saya maksudkan].

Tanpa melengahkan aksara, saya akan terus berlangsung kepada artikel yang sebenarnya, mukaddimah saya ternyata terlalu panjang… Untuk panduan, klausa yang disendengkan merupakan pandangan peribadi dan bukan fakta umum.

Al-kisah Pilihan Raya Ke-12 dan Perak

Seperti yang umum ketahui, tsunami politik di Perak bermula semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 tatkala Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya DUN dengan kelebihan 3 kerusi. [bagi saya, mengikut prinsip demokrasi, tiada istilah “pembangkang”, kerana tiada siapa yang membangkang kebaikan untuk segenap rakyat]. 8 Mac 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi DUN (52.5%) berbanding Barisan Nasional yang hanya memenangi 28 Kerusi (47.5%). [hmmm…kelihatan nisbah yang agak dekat] Pakatan Rakyat dengan ini, layak menubuhkan Kerajaan Negeri. dengan nisbah rasial 36 Melayu 18 Cina 5 India.

Siapa pun yang menang tak kira siapa pun anda, dan negeri/parti manakah anda, tahniah kerana menjadi pilihan majoriti rakyat. Saya telah mendoakan agar semua wakil rakyat dapat berkerja dengan baik.

Setelah Pilihan Raya Ke-12, terjadi gembar-gembur bahawa seorang tokoh Pakatan Rakyat berjaya menarik lebih daripada 30 orang Ahli Parlimen untuk menyertai Pakatan, menggunakan prinsip “Lompat Parti” sekali gus menetapkan tarikh berkeramat 16 September untuk mengambil alih tampuk Perdana Menteri. Khabar angin diuar-uarkan, dan terjadi diskusi tentang siapa yang akan menjadi PM sekiranya PR berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan.

Di Perak pula, terjadi hangar-bingar politik tentang status Menteri Besar. Akhirnya Sultan perak melantik Datuk Muhammad Nizar Jamaluddin menjadi YB Menteri Besar. Perlantikan Datuk Nizar ada menimbulkan sedikit kontroversi kerana beliau daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memperoleh bilangan kerusi tersedikit PR (6 mengikut pecahan parti). Tetapi PR telah pun menyelesaikan perkara ini berdasarkan prinsip kemuafakatan. Datuk Nizar merupakan calon MB yang sesuai; seorang yang berpendidikan tinggi dan merupakan ADUN PAS yang menang dengan majoriti besar di Perak. Dengan 36 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak adalah Melayu ditambah pula perkara dalam Perlembagaan Negeri Perak (maksudnya Undang-Undang Tubuh Negeri Perak lar tu), Datuk Nizar memang sesuai dan saya percaya beliau mampu bertindak adil.

Selama 11 bulan, DUN Perak diwarnai dengan pelangi politik yang sangat menjengkelkan. ADUN Bota, tiba-tiba saja menyatakan sokongan kepada PR. Ada pula isu tukar kereta rasmi kerajaan daripada Proton kepada kereta Toyota Camary yang digembar-gemburkan bagai nak rak. Bagi saya, isu kereta ini adalah isu kanak-kanak sekolah menengah. Toyota Camary mahupun Proton, adalah jenama kereta. Kereta adalah kereta. Bukan basikal, beca ataupun motorsikal. Pihak ”Pro-proton” mempunyai alasan bantahan, pihak pro-Toyota juga bersandar pada sebab tertentu. Pro-Proton menjulang jenama buatan Malaysia, dengan harga yang lebih murah, tetapi Pro-Toyota mempunyai persepektif jangka panjang, kualiti dan nilai susut kereta. Apa pun yang mereka pertikaikan, kalaulah mereka saling bantu-membantu dalam perkara yang mereka muafakati dan bertoleransi dalam hal-hal yang mereka selisihkan, sudah tentu isu kereta mahupun basikal ataupun jalan kaki, tidak akan menjadi masalah. Yang penting kesannya kepada rakyat. (Sebab mereka dipilih rakyat bukan kerana Pro-Toyota mahupun Pro-Proton). Sangat kebudak-budakan (dan media, tahniah kerana mempropagandakan isu ini dengan baik, sehingga tajalli ketidakmatangan ”gerakan-gerakan pro-kereta”). Saya tidak perlu mengulas tentang isu sebidang tanah di Perak kerana itu saya kurang mendapat fakta tentang hal itu.

Namun, klimaks pertama berlaku apabila Datuk Najib memulangkan paku buah keras kepada Datuk Anwar. 16 September tak menjadi kenyataan, pada bulan Februari, Perak pula beralih tangan, gara-gara 3 orang ADUN mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas dan mendukung BN untuk memerintah negeri Perak. Apa pun, itu tak merubah pandangan saya mengenai lompat parti seperti yang telah saya tulis. Cuma saya pelik tengok sebahagian orang menganjurkan lompat parti untuk kepentingan politik mereka, tetapi mencemuh orang lain yang melompat parti daripada mereka. Bagi saya, lompat parti tetap tak beretika, siapa pun yang menganjurkan, siapa pun yang melakukannya.

Angin Bertukar Arah

Meneliti rentetan peristiwa tersebut seperti yang saya ketahui, pada 4/2/09, ADUN Bota yang saya nyatakan di perenggan atas kembali kepada BN, 3 orang ADUN lain turut mengisytiharkan diri sebagai bebas. Kemudiannya, ADUN Perak dipanggil dan Datuk Nizar mengisytiharkan DUN Perak dibubarkan. Walaupun 27 ADUN yang menghadiri sidang tersebut, ia dianggap sah. Menteri Besar berencana untuk menemui Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan keputusan tersebut. Pembubaran DUN ditangguh sehingga keesokkan harinya. Datuk Najib kemudiannya menemui Sultan Perak di Istana Kinta.

Sekitar 5.40 petang hari Rabu, 4/2/09, Barisan Nasional menubuhkan kerajaan negeri secepat mungkin setelah mendapat 4 orang ADUN PR yang menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu. Najib mengumumkan perkara tersebut di Putrajaya. Semua ADUN Barisan Nasional negeri Perak turut serta dalam sidang media itu.

Pada 5/2/09, Sultan Perak menemui ADUN Perak untuk mengukur situasi. Dengan 27 ADUN UMNO, 1 ADUN MCA dan 3 ADUN Bebas, maka Sultan berkeputusan bahawa pembubaran DUN Perak tidak perlu. Datuk Nizar bersama barisan EXCO diminta meletakkan jawatan. Nama Datuk Dr Zambry disebut akan menggantikan Datuk Nizar.

Pada hari yang sama, pemimpin PR berkumpul di kediaman Menteri Besar. Datuk Nizar mengumumkan tidak dapat mematuhi kehendak Sultan kerana keputusan mahkamah diperlukan. Kira-kira 5000 penyokong berkumpul di Ipoh dan dikawal oleh Unit Amal PAS.

Pelbagai reaksi timbul. Tetapi, ada yang bermulut besar mahu menyaman Sultan. Hmmm...no comments. Tak silap saya, memang sekarang ni dah boleh saman Sultan. Tapi betullar kata Tun Mahathir. Orang-orang Melayu yang tradisional macam saya ni tak suka la macam tu.

Bantahan Di Masjid Ubudiah dan Jawatan Kuasa Hak Kebebasan DUN Perak

Selepas sembahyang Jumaat, 6 Februari 2009, kira-kira 1000 mengadakan demonstrasi jalanan di perkarangan Masjid Ubudiah, 1 km daripada Istana Ubudiah tempat berlangsungnya majlis perlantikan menteri besar yang baru. Beberapa orang baring di atas jalan raya, membaling batu dan menyekat kenderaan orang kenamaan dari memasuki Istana Iskandariah. Kereta rasmi Raja Nazrin dikerumuni orang ramai, terkena balingan batu dan cermin sisi pecah. FRU terpaksa melepaskan puluhan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Kerajaan Pakatan Rakyat ditegakkan melalui 3 juta undi di Perak tetapi akhirnya ditumbangkan akibat 3 ADUN lompat.

Pada 17 Februari 2009, Zambry Abdul Kadir memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berhubung kenyataannya terhadap Speaker DUN Perak mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak. Zambry dan exco barunya dianggap menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan sebagai MB. Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun. Suruhanjaya Pilihan Raya dimaklumkan untuk mengadakan pilihan raya kecil Jelapang dalam tempoh 60 hari sebagaimana Artikel 34 (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Jamaluddin dan Mohd Osman Jailu tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN Perak akan datang kerana kerajaan negeri Perak tidak mengiktiraf mereka. Bagaimanapun keputusan itu dianggap UMNO sebagai tidak sah kerana diputuskan oleh secara bersendirian tanpa merujuk kepada Dewan bagi membuat keputusan. Selain itu ia juga dianggap membelakangi kuasa Sultan bagi melantik Menteri Besar dan juga bersifat sub judice disebabkan perkara itu telahpun diajukan oleh Nizar ke mahkamah.

Persidangan DUN Bawah Pokok

Pada 3 Mac, sebanyak 27 anggota Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat mendapati mereka dilarang masuk Bangunan Darul Ridzuan untuk menghadiri persidangan tergempar, maka mereka terpaksa mengadakan "persidangan" tersebut di bawah sebatang pokok kira-kira 100 meter di luar bangunan DUN, untuk meluluskan tiga usul iaitu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) – lagi sekali – bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan. Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa perhimpunan di bawah pokok tersebut adalah tidak sah, dan mengeluarkan perintah menahan Sivakumar dari mengadakan persidangan tanpa keizinan baginda. Walau bagaimanapun, Nizar menegaskan bahawa tiada mana-mana mahkamah yang boleh mencabar Speaker, dan Sidang Tergempar biasanya diadakan secara "gempar", maka Sultan dan semua ADUN diberi notis berkaitan perkara itu.

Persidangan DUN 7 Mei

Persidangan pertama semenjak 4 Februari sepatutnya dirasmikan pada 7 Mei 2009 tetapi diganggu kekecohan, apabila Speaker V. Sivakumar enggan memulakan persidangan selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga ahli Bebas tidak meninggalkan Dewan dengan alasan keanggotaan mereka telah digantung, tetapi arahan Speaker tidak diendahkan. Zambry kemudian berdiri dan membuat usul memecat Sivakumar selaku Speaker, dan ini disokong 27 ahli BN dan tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan. Bagaimanapun Sivakumar berkata, beliau menolak usul itu dan menjelaskan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dan sekali lagi disokong ahli BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa keluar 10 ahli itu, tetapi Zambry berkata, Sivakumar kini telah dipecat.

Akhirnya polis pun masuk dewan tersebut dan mengangkat Sivakumar ke suatu tempat yang dirahsiakan. Pada persidangan dewan tersebut berlangsung dengan dipengerusikan oleh seorang bekas ADUN.

Sehingga Mahkamah Tinggi medengarkan kes, saya beranggapan bahawa Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah atas lantikan Sultan, tetapi Nizar juga masih sah, kerana belum dilucutkan jawatan dengan Undi Tak Percaya. Maka, saya menangguhan penulisan ini sehingga Mahkamah Tinggi memberikan keputusan. Jikalau mengikut ideologi awal, Sultan memang berautoriti melantik Menteri Besar. Maka Zambry juga sah. Pernyataan MB Haram yang dikeluarkan pihak tertentu adalah menentang keputusan Duli Tuanku Sultan Perak. Tetapi, Perlembagaan Perak juga menyatakan Menteri Besar hanya satu saja. Hahaha... pelik Perlembagaan Perak ni. Tak payah la saya keutarakan Perlembagaan Perak 16 (6) atau 18 (2). Sebab nanti lagi haru-biru karang.

Kepurusan Mahkamah Tinggi 12/5/09

Pada 12 Mei, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah. Dalam pengadilannya, Hakim menyatakan mengikut ”seorang Menteri Besar tidak boleh dijatuhkan dengan kecuali dengan undi tak percaya dalam mesyuarat” adalah dilihat lebih jelas. Kes yang sama pernah berlaku di Sarawak, apabila ADUN Sarawak membuat petisyen beramai-ramai untuk menjatuhkan Ketua Menteri. Walaupun ramai yang menandatangani surat tersebut, namun apabila disemak, mereka tidak pernah mengadakan mesyuarat yang sah unruk membincangkan perkara tersebut.

Mahkamah Tinggi menambah, WALAUPUN BN mendapat MAJORITI di dalam dewan, NAMUN MEREKA TIDAK MENGADAKAN UNDI TAK PERCAYA selepas itu. Mungkin tulisan saya agak berbeza sekiranya BN telah pun mengadakan undi tak percaya tersebut.

Dengan kapasiti tersebut, Nizar kemudiannya mengumumkan sekali lagi pembubaran DUN. Muhyidin memberi komentar, apa pun yang berlaku, rakyat harus diutamakan.

Beberapa jam selepas itu, Mahkamah Rayuan mengumumkan penangguhan Keputusan Mahkamah Tinggi atas rayuan Zambry. Berita Harian pula melaporkan bahawa Zambry masih MB Perak yang sah, kerana Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Cadangan:

Lompat?

Terdapat beberapa perkara yang inin saya bangkitkan disini: Pertama, buat pertama kalinya saya mendengar istilah lompat parti, saya menjadi jelak. Kita semua tahu rata-rata rakyat Malaysia memilih seorang calon Pilihan Raya berdasarkan parti BUKAN KREADIBILITI calon tersebut. Oleh sebab itu, bagi saya, lompat parti merupakan hal serius kerana majoriti rakyat memilih panji yang dibawa, bukan kewibawaan peribadi. Melompat parti kelihatan seperti mengkhianati rakyat yang menjulang panji-panji tertentu. Sudah tentu, lompat parti sangat tidak beretika. Tetapi, saya ragu-ragu bahawa politik mempunyai etika apatah lagi profesionalisme.

Tu lah, lain kali jangan pandai bagi idea yang pelik-pelik. Tengok, kena batang hidung sendiri kan padan muka. Tapi tak semua yang bersalah, sebahagian orang pun tak suka sangat lompat-melompat ni.

ADUN bebas tersebut telahpun mencalarkan imej mereka apabila lompat-melompat ditambah tuduhan rasuah seks. Euwww~


Buat Undi Tak Percaya Cepat-Cepat, Bukan Tubuh Kerajaan Dulu

Kedua Setelah mendapat majoriti, seharusnya perkara pertama yang dilakukan oleh BN adalah melakukan undi tak percaya kepada Nizar dan menjatuhkan beliau. Percaturan ini sangat penting. ”Bertemu Sultan” bukanlah takrifan ”dalam mesyurat”. Saya secara peribadi berpendapat daripada membuang waktu menidaksahkan mesyuarat di bawah pokok yang memang dianggap tidak sah oleh mahkamah, lebih baik pada 7 Mei tersebut DUN mengadakan undi tak percaya kepada Nizar dan menjatuhkan beliau (itu merupakan sidang sah pertama setelah 4 Februari).

Teringat Zaman Romawi

Ketiga, saya menolak keterlibatan polis dalam menyingkirkan Sivakumar daripada kerusinya. Polis harus bertindak neutral dan mengikut undang-undang. Inilah kali pertama saya melihat dengan terang lagi bersuluh bahawa polis bertindak tidak adil. Selama ini, dengar ura-ura saja. Seperti kita semua, polis juga pada masa tersebut, tidak tahu siapakah yang berada di pihak yang benar, dan mahkamah belum memutuskan apa-apa. Sivakumar menyingkirkan Zambry, Zambry menyingkirkan Sivakumar. Kedua-duanya berkuasa untuk saling menyingkirkan. Ibarat 2 Konsul Roman pada zaman lampau. Tetapi, dengan kekuatan bersenjatalah Julius Caesar yang mampu mengalahkan menantunya sendiri, Pompey the Great dan mendominasi senat. Pompey juga mempunyai kekuatan bersenjata, tetapi gagal mengertang dominasi Julius Caesar.

Dalam kes di Perak, Polis bukanlah hak milik Julius Caesar mahupun Pompey. Mereka hak milik negara, dan bernaung di bawah Duli Yang Maha Mulia (walaupun saya tahu bahawa mereka berada di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri). Nasib baik Polis tu Islam juga, kalau kat zaman Rom dulu, peranan polis dimainkan oleh pasukan elit tentera yang digelar ”Praetorian Guard”. Kalau satu kelompok saja yang masuk ke Senat Rome, sudah tentu Senator gentar dan terancam dibunuh. Saya cadangkan agar Sultan Perak melantik lebih ramai Bentara Dewan untuk mengawal keadaan Dewan yang mulia, bukan dengan membiarkan Polis terlibat.

"Rakyat Diutamakan"

Keempat, kita semua bersetuju bahawa rakyat harus diutamakan. ”Put Perak people first”, bak kata Muhyidin. Oleh kerana BN terkhilaf kerana tidak membuat undi tak percaya dalam DUN, dan Nizar telahpun mengumumkan pembubaran DUN dengan autoritinya sebagai ADUN serta Menteri Besar, maka eloklah kiranya Pilihan Raya diadakan semula. Tak kisah lah habis suit sekali lagi… Daripada bertelingkah macam ni, nanti lagi banyak duit habis karang. Keadaan macam ni memang biasa menginisiasi rasuah dan korupsi. Put People First. Hahaha memang orang-orang Johor macam tu, mementingkan rakyat~! Bangga jadi orang Johor

Janganlah Buat Bantahan di Depan Masjid dan Baling-Membaling Batu

Kelima janganlah buat bantahan di depan masjid dan baling batu. Kat Indonesia ni, orang buat demostrasi aman-damai je. Tak ada pun sampai baling-baling batu. Tercalar imej Islam.

Rakyat Harus Undi Mengikut Calon, bukan Parti;
Parti Harus Pilih Calon Yang Terbaik


Keenam dan yang PALING UTAMA, rakyat haruslah mengundi dengan lebih bijak. Rakyat harus menilai kredibiliti seorang calon, bukan mengikut parti. 60% rakyat masih mengundi mengikut Parti. Harus diingat, parti tidak mewakili semua rakyat. Parti juga, kalau mahu meletakkan calon, janganlah meletakkan koruptor, sesudah mengetahui 60% rakyat memilih parti, bukan calon.

Orang yang masuk DUN tu bukan namanya Wakil Parti, tapi namanya Wakil Rakyat. Saya secara jujur, tak suka parti-berparti ni. Makin pelik tengok Malaysia yang tercinta. Amerika dengan UK pun berparti-parti jugak, tapi tak ada sampai jadi huru-hara macam ni. Kalau Perak buat Pilihan Raya sekali lagi, rakyat Perak harus matang memilih WAKIL RAKYAT mereka yang berwibawa, tak kisah walaupun calon dia daripada Parti Pesaka Sarawak yang bertanding kat Perak, supaya insiden lompat-melompat ni tak berlaku lagi.

Penutup:

Sebagai penutup, saya hanya memaparkan pandangan peribadi. Anda akan melihat variasi persepsi dan warna-warni pemikiran saya mendalami persepsi orang lain. Lihat saja Perak. Yang terlibat pasal pilih-memilih lantik-melantik Menteri Besar ni sampai banyak sangat tangan. Sultan Perak, Rakyat Perak, Perdana Menteri, Dewan Undangan Negeri, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, ADUN Lompat Parti, dan sebagainya. Akhirnya Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dipersalahkan. Huhuhu~! Saya pun naik kagum dengan keunikan Malaysia. Bukan apa, kat Indonesia ni pun parti-berparti juga, sampai 51 Parti. Walaupun parti paling banyak pun dapat 24% jer undian dia, namun tak ada pun masalah macam ni.

Akhirul kalam, majulah Perak untuk negara. Saya lihat, negeri paling banyak masalah dalam Malaysia adalah Perak daripada dulu sampai sekarang, sebab Perak jadi rebutan orang. Namun apa pun mari kita meneliti rangkap terakhir negeri Perak. Bukan rangkap biasa, tapi merupakan suatu doa yang dinyanyikan oleh rakyat yang cinta kepada Negeri Perak.

"Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan Negeri dan Sultan..."

Doa Terakhir

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berselisih; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah ; sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal 46)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisa' 59)

Orang Islam...
janganlah berselisih lagi...
Itu menjejaskan kekuatan kita.


Ya Allah,
janganlah Kau menjadikan aku sebahagian drpd orang-orang yang memecah-belahkan umat-Mu.


Disclaimer: Ini bukan tulisan Politik. Ini tulisan pemerhatian politik.

0 comments:

Newer Post Older Post Home