Tika Aku...

Tika aku merintih sepi
Gemersik membisik rembulan pada mentari
apakalai terang siang bertukar malam sunyi
"haruskah dia melayah jungur lalu tersungkur sendiri?"

Berbicara mentari:
"Bukankah sepi lahir dari hati?
bersemi di sanubari.
Ia hanyalah rasa;
yang hadir untuk menguntum di dalam jiwa.
Kosong...dan Pasrah;
prasangka"

Pula bertanya siang pada malam sunyi,
"detik dinginnya sepi diperinci hati
maujudkah celah untuk tawa bertandang secebis?"

Kata sunyi:
"Bukankan sepi juga ibarat langlang dunia,
yang bertenggek hanya di bingkai jendela kaca.
Tika tawa datang, tandangnya melayang pergi.
Menjadi secarik sejarah ulangan di dalam diri...
Cuma berlalukah tawa?
Memberi ruang hadir-
untuk aku mengisi?"

(Melihatkan sedemikian)
bertanya aku pada diri,
bertanya diri pada jiwa.
"Sepi...Apa sebenarnya?

Mencelah,
lalu atma dan nafas berceritera
"Duhai manusia,
bukankan kau percaya pada Dia yang abadi?
Maka tidakkah kau percaya pada kalam-Nya yang hakiki?"

maka percayalah jua titahnya
Bahawasanya: 'Adakah kamu menyangka,
setelah kamU beriman, kamu ditinggal sendiri?'

Duhai musafir di dunia nyata,
dikau berkelana di sebalik maya.
Tiada pintu buat sepi menjenguk,
Kerana kau ada Ilahi, engkau berdiri di dalam diri
Ada ketika, tertusuk onar dan duri
menguja rapuhnya jalanmu ini;
Jadi,
bukankan sepimu itu hanya naluri?"

"Dikau mengertang kesunyian.
Aneh;
Ironisnya, kau tak pernah sepi.
Kerana sepi itu hanyalah bersendiri
Lebih buruk daripada berkalang tanah; mati
Sepi itu hanya mimpi."




teringat ibu di hospital,
ditinggal rakan; 5/1/2005


copy right reserved.
Kencana Si Rawi

imra(';')n -------{@



Secara peribadi, sajak ni merupakan sajak keempat tebaik yang pernah aku karang [mengikut pandangan aku] dan juga satu-satunya sajak Top 5 aku yang boleh dipaparkan secara umum.

Puisi ini ditulis pada hari pertama persekolahan Tingkatan 5 iaitu 5/1/2005. Sehari sebelum itu, iaitu tanggal 4/1/2005, saya kembali ke ASiS. Selepas emak menghantar aku menaiki bas, emak melanjutkan perjalanan ke hospital untuk suatu pembedahan. Sesampainya di KL, aku menjalankan aktiviti seperti biasa. Tatkala waktu makan malam 5/1/2005, tiba-tiba saja perasaan teringat kepada emak menyerkap benakku. Aku menolak ajakan Shahril untuk makan di dewan makan, sebaliknya, aku tetap duduk di dalam kelas. Sementara menanti maghrib, aku menuliskan puisi ini.

Watak-watak puisi ini iaitu Mentari, Bulan, Siang, Malam, Atma, Jiwa, Nafas, Sunyi, Tawa cuba dihidupkan, kerana "watak-watak" inilah yang menjadi latar penulisan sajak ini - Maghrib dan berseorangan.

Falsafah puisi ini agak ringkas. Sebelum penulisan puisi ini, aku menyakini bahawasanya "sunyi, sepi, dan sendiri" (selepas ini akan ditulis sebagai kondisi 3S) merupakan kondisi yang berlawanan dengan hingar, gembira dll. Namun setelah melihat alam sekeliling, ternyata Kondisi 3S bukanlah sesuatu yang berlawanan dengan, melainkan absensi perasaan gembira dan hingar tersebut. Lumrahnya, hingar boleh menghilangkan kondisi 3S, tetapi kondisi 3S tidak pernah sama sekali menyebabkan hingar dan ketawa sirna sekelip mata.

Setelah merenung diri sendiri aku berfikir bahawasanya "hingar dan ketawa" merupakaan perasaan bisa direksa. Ironisnya, secara spiritual dan fizikal, sentiasa ada sesuatu yang menemani kita, maka seharusnya tidak perlu untuk kita merasa sunyi.

Maka sebenarnya sunyi itu adalah mainan minda sahaja. Akulah harus mengawalnya. Dan aku amat memegang itu sehingga sekarang. Aku tidak akan merasa bersendiri lagi...

2 comments:

salam~walaupun aku sebenarnya xnak puji..
tapi siyes mmg best sajak ko...(jgn bangga!)
scara personal,aku menyukai sajak ini..haha
p/s:tapi aku rase kata membisik 2 patut tukar pd berbisik la imran(pndgn sendiri)..huhu

March 5, 2009 at 9:28 PM  

Hmmm...
Ni sajak ke4 terbaik aku secara peribadi tau...

Ada lagi 3 yang aku rasa lebih baik daripada nie (bukan nak belagak)

Aku memang nak guna "berbisik" sebab aliterasi lagi hebat...

Tapi sajak aku,
kalau ko kaji betul2
ada rahsia-rahsia tertentu (Da Imran Code)
sbb tu aku pakai membisik bukan berbisik...

Anyway, thanks!

=)

March 7, 2009 at 2:46 AM  

Newer Post Older Post Home